The Club @Bukit Utama - Kelab rumah mewah

RUMAH kelab seringkali dilihat sebagai pengukuh sesebuah komuniti dengan kepelbagaian kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan, khususnya dalam sektor sukan dan permainan.

Rangsangan yang disediakan berupaya memangkinkan hubungan antara ahli kelab dan juga komuniti sekelilingnya.

Sebagai langkah menambahkan lagi kemudahan sedia ada dan melengkapkan keperluan penduduk di kondominium dan kawasan perumahan serta kakitangan di pejabat-pejabat setempat yang kian bertambah di Bandar Utama, Petaling Jaya, syarikat pemaju Bukit Utama County Sdn. Bhd. telah membina sebuah rumah kelab mewah yang mempesonakan.

Dibina untuk memenuhi keperluan rekreasi dan sukan komuniti tersebut, rumah kelab yang dinamakan The Club@Bukit Utama menawarkan kemudahan terkini kepada semua sama ada ahli mahupun bukan ahli.

Terletak dalam kawasan hijau Bandar Utama yang seluas 22,000 meter persegi, The Club telah membuka pintunya kepada orang ramai pada 1 Januari lalu.

“Gaya hidup masa kini yang lebih mementingkan kehidupan sihat dan keperluan sebuah lokasi untuk pertemuan komuniti menjadi antara pencetus kewujudan kelab ini,” ujar Pengarah The Club@Bukit Utama, Datuk Teo Chiang Kok pada sidang media yang diadakan di rumah kelab tersebut baru-baru ini.

Tambahnya: “Penduduk setempat berpeluang menikmati gaya hidup sihat bersama keluarga mereka, manakala yang bekerja di Bandar Utama dapat menggunakan kelab itu sebagai pelengkap kehidupan di kejiranan ini.”

Menyedari pentingnya sebuah rumah kelab yang benar-benar memenuhi keperluan ramai, pihaknya telah mengadakan satu soal selidik agar kemudahan yang disediakan mengurangkan bayaran penyelenggaraan mereka yang terlibat.

“Kami memberi kuasa kepada penduduk dan kakitangan terlibat untuk menyatakan apa yang diingini dalam sebuah rumah kelab. Konsep kami adalah meminimumkan kos penduduk untuk kemudahan yang digunakan.

“Memang ada pemaju menyediakan kemudahan kepada penduduk tetapi ia tidak memenuhi keperluan dan akhirnya membebankan mereka yang terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, melalui soal selidik yang dilaksanakan, pihaknya mendapati elemen penting yang harus ada dalam sesebuah rumah kelab ialah kolam renang, taman permainan kanak-kanak, gimnasium dan gelanggang tenis.

Dalam rancangan tersebut, ujar Chiang Kok, Kondominium Bukit Utama akan dibangunkan dalam sembilan fasa dengan fasa pertama mempunyai 500 unit telah siap dibina manakala fasa kedua yang mempunyai 1,000 unit dijangka siap pada tahun 2011.

“Daripada menyediakan sembilan rumah kelab yang berbeza untuk setiap komuniti dengan mengutip sembilan yuran penyelenggaraan, lebih baik kami membina sebuah kemudahan rekreasi setempat yang boleh digunakan oleh semua kondominium,” ujarnya.

Pihak pemaju The Club amat mementingkan rekaan rumah kelab tersebut dengan memberikannya persekitaran yang berkonsep kontemporari tetapi pada masa yang sama mengintegrasikan elemen semula jadi seperti pokok, tumbuhan lain dan juga bentuk muka bumi yang dijaga elok.

Rekaan bercirikan resort itu menjadikan rumah kelab yang bernilai RM45 juta tersebut sebagai lokasi ideal bagi keluarga dan rakan-rakan untuk beriadah dan bergembira.

“Seiring dengan pendirian kami untuk memajukan projek yang bersifat mesra alam, rumah kelab ini dibina dengan ciri-ciri hijau seperti penuaian air hujan untuk pengairan landskap dan penggunaan kayu komposit bagi menggantikan kayu jati.

“Bangunan juga dibina dengan pengudaraan yang baik bagi mengurangkan kesan haba terhadap bangunan ini,” kata Chiang Kok.

Tarikan utama The Club termasuklah sebuah padang golf yang mempunyai sembilan lubang dan kemudahan bermain pada waktu malam, sebuah kolam renang bersaiz Olimpik dan pelbagai gelanggang permainan dalaman.

“Padang golf yang bersifat mesra alam itu memberikan cabaran bermain dan keseronokan kepada pemain di setiap peringkat kemahiran, sementara permainan golf pada waktu malam memberikan alternatif kepada mereka yang ingin mengelakkan diri daripada cuaca panas atau selepas waktu bekerja,” kata beliau lagi.

Sentiasa memberi perhatian kepada sebuah padang golf yang dibina dalam zon kondominium, pihaknya memilih rumput tempatan untuk meminimumkan penggunaan baja dan pestisid, berbanding dengan rumput import yang memerlukan 10 kali ganda amaun bahan terbabit.

Bangunan setinggi empat tingkat itu juga mempunyai sebuah gimnasium, studio tarian dan yoga, empat gelanggang squash, empat gelanggang badminton, dua gelanggang futsal dan tiga gelanggang tenis.

Kesemuanya terletak di bahagian dalam kelab agar peminat sukan boleh beriadah tanpa memikirkan keadaan cuaca.

Selain itu, konsep terbuka membenarkan sinaran matahari dan udara masuk ke dalam persekitaran kelab.

Kemudahan lain yang turut disediakan ialah lokar peribadi dan bilik stim untuk menyegarkan badan setelah penat bersukan.

Bilik-bilik mesyuarat dan sebuah dewan besar pula disediakan supaya aktiviti forum dan persidangan perniagaan dapat diadakan.

“Tidak lupa juga, kami turut menyediakan sebuah restoran iaitu Restoran Cina Extra Super Tanker yang mengkhususkan kuisin Kantonis dengan paparan unik makanan laut segar dan hidangan kegemaran yang dimasak sempurna.

“Bersambung dengan restoran tersebut ialah sebuah dewan besar yang versatil untuk digunakan sebagai lokasi seminar, majlis-majlis korporat dan juga perkahwinan. Secara keseluruhan, ia boleh memenuhi 900 orang pada satu masa,” jelas Chiang Kok.

Difahamkan, tidak lama lagi sebuah kedai peralatan sukan akan dibuka, manakala pada bulan ini, dijangka Sekolah British Kuala Lumpur akan membuka kampus peringkat asasi dan rendah di The Club.

“Bagi merealisasikan rancangan mewujudkan komuniti yang berintegrasi, The Club menyediakan rangkaian tapak pejalan kaki, trek berbasikal dan joging serta perkhidmatan kereta bugi yang menghubungkan rumah kelab dengan kondominium-kondominium di Bukit Utama.

“Ini dilihat sebagai pengangkutan alternatif yang selamat dan mudah kepada penduduk setempat, khasnya kanak-kanak dan warga emas kerana mereka tidak perlu memandu atau menggunakan perkhidmatan awam untuk datang ke sini,” kata Chiang Kok lagi.

Sejak dibuka dua bulan lalu, jumlah keahlian The Club telah mencecah 600 orang dan beliau meramalkan bahawa jumlah tersebut akan berganda kepada lebih daripada 1,500 orang menjelang hujung tahun ini.

“Kami menyediakan ruang tempat letak kereta dan juga pengawasan CCTV selama 24 jam sehari agar keselamatan semua terjaga,” kata Chiang Kok.

Ahli-ahli boleh membuat tempahan kemudahan secara dalam talian di alamat www.theclub.com.my atau di e-kiosk ONECARD yang terdapat di The Club.

Pengunjung kali pertama juga boleh memohon ONECARD di lobi rumah kelab itu atau di Pusat Perkhidmatan Pelanggan 1 Utama.

Oleh JOHANNA A. SOBREY
Johanna.sobrey@kosmo.com.my