Hartanah mewah 1.5 bilion

PADA 20 hingga 22 Mac lalu, satu pameran hartanah mewah telah berlangsung di Dewan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur melibatkan 50 pemaju hartanah di seluruh negara.

Acara tersebut merupakan satu-satunya pameran hartanah mewah di Malaysia yang berjaya dianjurkan sejak tahun 1997. Sehingga kini, sebanyak 30 pameran seumpamanya telah diadakan dengan penyertaan lebih daripada 300 syarikat pemaju.

Menurut Pengarah Projek pameran itu, S. Y. Moey daripada Exhibition Guide (M) Sdn. Bhd., untuk pameran kali ini ia melibatkan jumlah hartanah mewah yang keseluruhannya bernilai RM1.5 bilion.

"Selain 50 pemaju hartanah mewah menyertai pameran kali ini, terdapat juga enam institusi perbankan seperti Affin Bank, Citi Bank dan HSBC terlibat secara langsung dalam acara berprestij itu.

"Secara umumnya, setiap unit hartanah yang dijual bermula daripada harga RM1 juta hingga RM50 juta. Namun, pihak pemaju tidak ketinggalan mengetengahkan hartanah yang bernilai antara RM250,000 hingga RM500,000.

"Di samping itu, antara keistimewaan yang ditawarkan pada pameran kali ini ialah penjimatan dari segi kadar faedah pihak bank dan juga bayaran pendahuluan serendah lima peratus," kata Moey ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Moey, pameran hartanah mewah itu boleh dianggap pusat sehenti untuk individu atau syarikat korporat yang mahu mendapatkan hartanah secara eksklusif sambil dibantu oleh pegawai jualan yang berkaliber.

Antara syarikat pemaju yang turut menyertai pameran itu ialah BSG Property, anak syarikat Boon Siew Group yang menampilkan satu projek hartanah mewah yang terletak di Tanjung Bunga, Pulau Pinang.

"Harmony Residence menyediakan sebuah kediaman mewah yang berprestij, selamat dan mempunyai kedudukan strategik di antara pantai Batu Ferringghi dan kawasan pusat beli-belah kosmopolitan Gurney Drive dan Georgetown.

"Banyak keistimewaan yang ditawarkan termasuklah kolam renang persendirian, taman dan sebagainya yang menjanjikan kepuasan kepada pemiliknya," kata Eksekutif Pemasaran dan Jualan Hartanah BSG Property, Chong Hock Aun.

Tambah Hock Aun lagi, sepanjang tiga hari pameran berlangsung, pihaknya telah berjaya menjual 14 unit kediaman daripada 39 yang disediakan.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat pemaju Trinity Group memperkenalkan dua projek hartanah mewah yang terdiri daripada servis apartmen dan lot banglo.

Pengurus Pemasaran Trinity Towers Sdn. Bhd., Andrew Lee berkata, setiap unit kediaman servis apartmen bernilai antara RM225,000 hingga RM250,000 manakala untuk lot banglo pula berharga RM950,000 ke atas.

"Kediaman The Zest Servis Apartmen ini terletak di Bandar Kinrara 9 yang menyediakan panorama lapangan golf yang menghijau dan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

"Menariknya, landskap mewah kediaman ini direka oleh Praxcis Design Sdn. Bhd. yang pernah memenangi anugerah arkitek landskap terbaik di mana setiap unit direka untuk privasi dan kebanggaan pemiliknya," ujar Andrew.

Selain dua syarikat pemaju terkenal, banyak lagi kediaman mewah boleh dimiliki yang menawarkan pelbagai keistimewaan tersendiri termasuklah Olive Residences di Subang yang dimajukan oleh Everest Point Sdn. Bhd. dan juga Setia Sky Residences oleh SP Setia Bhd. Group.

Sepanjang tiga hari pameran itu berlangsung, kira-kira 16,000 pengunjung memenuhi Dewan 2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di mana 30 peratus terdiri daripada pelancong asing dan selebihnya ialah warga tempatan.

Bagi memeriahkan acara, pihak penganjur turut mengadakan 30 seminar berkaitan hartanah yang disampaikan oleh penceramah individu yang pakar dalam bidang ini bagi mewakili syarikat dan firma hartanah masing-masing.

Antara penceramah yang terlibat ialah Stephen Hogson, Pengarah Urusan Propertrack.com, Mark Smith (KPWG Int. Sdn. Bhd.), K. Soma Sundram (Presiden Malaysia Institute of Estate Agent), Peter Huang (Pengarah TSL Group) dan lain-lain lagi.

Apa yang pasti, kegawatan ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya tidak menghalang pembangunan sesebuah projek kediaman dijalankan kerana ia sentiasa ada pembelinya.

Malaysia, contohnya, walaupun terkena sedikit tempias krisis ekonomi global, namun rakyat masih mampu bertahan dan hidup normal.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my